Ahad, 17 Ogos 2014

Mengurat dan bercinta dalam Islam, apakah hukumnya?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…
Sesungguhnya, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari kata-kata yang sesat lagi menyesatkan…
Assalamualaikum…

Mengurat dan bercinta dalam Islam? Apakah hukumnya?

Inilah yang selalu menjadi punca kepada kekeliruan pada setiap remaja yang mula belajar mengenal apa itu erti cinta. Mesti ramai yang tertanya-tanya adakah bercinta itu haram? Apakah hukumnya mengurat? Dan apakah perbezaan antara bercinta dan “couple”? Di sini hendaklah ditegaskan bahawa cinta dan “couple” itu adalah berbeza sama sekali dan tidak ada yang menyamakan sifat-sifat antara dua elemen ini.

Adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap remaja yang bercinta dengan melalui proses mengurat, sama ada lelaki mengurat perempuan atau perempuan mengurat lelaki. Proses ini telah menjadi sesuatu yang lazim dalam kehidupan remaja. Seakan-akan sudah sebati dengan amalan seharian. Jika kita lihat dari pelbagai sudut, ramai remaja yang menyalahertikan apa itu mengurat sehingga kita dapat lihat punca kepada rosaknya akhlak remaja bermula dari mengurat. Salah tanggapan dan salah fahaman terhadap persoalan ini boleh menyebabkan konflik dalam diri remaja muslim.

Secara kasarnya ada sesetengah ulama menganggap mengurat dan cinta itu halal tetapi kebanyakan ulama yang lain pula menganggap haram. Bagaimanapun di kalangan ulama fekah terdapat beberapa orang ulama yang merupakan pencinta yang hebat seperti Daud az-Zahiri yang merupakan imam Mazhab az-Zahiri.

Sebenarnya mengurat adalah satu perkara yang penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Ini kerana mengurat adalah mukadimah kepada percintaan, percintaan adalah mukadimah kepada perkahwinan, perkahwinan adalah mukadimah kepada penubuhan sesebuah keluarga, dan keluarga adalah mukadimah kepada terbinanya sebuah negara. Di sini jelas menunjukkan mengurat bukanlah sesuatu yang haram. Tidakkah dalam konteks ini mengurat dan bercinta tepat dengan ajaran Islam? Mengurat dan bercinta dianggap berguna jika ia membawa kepada kebaikan.

Tetapi mengurat dan bercinta dianggap tidak berguna jika ia membawa kepada keburukan dan menjadi punca kepada suatu penzinaan. Mengurat dan bercinta seperti ini tidak menjadi mukadimah kepada sesebuah keluarga, bahkan menjadi mukadimah kepada lahirnya anak luar nikah atau mencampakkan anak dalam longkang dan tong sampah. Mengurat dan bercinta seperti ini dilarang dalam Islam.

Selain itu ingin diingatkan bahawa pada hari ini mengurat dan bercinta itu semua berpunca daripada perasaan emosi dan juga nafsu. Kebiasaannya, tindakan seseorang mengurat dan bercinta itu sebenarnya bertitik tolak dengan perasaan dan emosi, maka dengan itu mudah sekali untuk mereka melakukan perkara-perkara yang terlarang mahupun dengan kesanggupan kedua-dua belah pihak ataupun tidak. Oleh itu, kepada sesiapa yang telah terlibat dengan anjakan perasaan dan emosi ini harus pandai menggunakan kewarasan akal agar segala batasan dapat dikawal dan tidak melanggar hukum syarak.

Bagi mengelakkan daripada perkara terkutuk ini berlaku, panduan Rasulullah SAW harus dipatuhi. Baginda melarang orang Islam supaya jangan berlebihan dalam mengurat dan bercinta. Malah Baginda menyuruh mereka supaya bercinta kerana Allah iaitu mencintai orang yang dikasihi kerana Allah.

Terdapat beberapa riwayat menceritakan Nabi Muhammad SAW membenarkan hamba menyanyikan lagu mengurat yang dipanggil sebagai ghazl. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Rasulullah SAW menyuruh Aisyah menghantar seorang yang pandai menyanyikan lagu ghazl kepada pengantin kaum Ansar yang menjadi kerabat Aisyah. Ini kerana menurut Nabi, kaum Ansar ada keramaian termasuk mendendangkan lagu-lagu ghazl.

Baginda berkata: “Sesungguhnya kaum Ansar adalah kaum yang ada pada mereka ghazl. (Ibnu Majah: Hadis No 1890)

Ghazl bermaksud mengurat dan ada beberapa hadis nabi ghazl bermaksud mendendangkan lagu-lagu cinta yang sunyi daripada kata-kata baik dan sebagainya. Dalam bahasa Arab, ghazl bermaksud ‘lagu dan puisi kasih’. Perkataan arab, ‘Ghaz’ yang membawa maksud nyanyian yang ditujukan kepada wanita. Dari segi bahasa pula bermaksud mainan cinta, ungkapan-ungkapan cinta dan ucapan-ucapan yang diluahkan kepada wanita atau berkata-kata dengan wanita. Ghazl juga dikenali sebagai satu bentuk puisi nasyid iaitu puisi-puisi yang memaparkan kisah percintaan penyair dengan kekasihnya.
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, muslim dan lain-lain, Rasulullah mengingatkan supaya seorang penyanyi kerabat baginda bernama Anjasyah supaya tidak berlebih-lebihan dalam mendendangkan lagu-lagu yang berkaitan dengan mengurat dan cinta.

Islam adalah agama yang membawa matlamat cinta. Cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul, cinta kepada negara, cinta kepada kedua ibu-bapa, cinta kepada keluarga dan cinta kepada hambaNya. Sebab itulah Rasulullah SAW menekankan soal mendidik anak-anak daripada kecil lagi diterapkan soal cinta.

Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda:

“Tanamkan dalam diri anak-anak kamu cintakan Allah, cintakan Rasul, cintakan ahli keluarga Rasulullah dan cintakan membaca al-Quran.”

Ini menunjukkan cinta itu suatu yang penting diterapkan dalam diri setiap muslim sehinggakan Nabi SAW bersabda tidak akan masuk syurga sehingga kamu belajar cinta-mencintai di antara satu sama lain.

Remaja bercinta jelas beliau tidak melanggar fitrah. Ia satu fitrah tetapi perlu diaturkan bagaimana mereka bercinta. Cinta tidak boleh berdasarkan emosi semata-mata, remaja mesti ada tanggungjawab. Remaja mestilah pandai membezakan antara bercinta dan ‘couple’. Seorang remaja yang bertanggungjawab haruslah mencari sesuatu yang diredhai Allah bukan dengan melakukan perkara yang dilarang dalam Islam.

Waallahu’alam…

19 Hadis Rasulullah S.A.W tentang wanita

1)Rasulullah bersabda,'Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah'. (HR Muslim).

2)Dari Aisyah ra yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?". Jawab Nabi; "Suaminya". Aku bertanya lagi; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?". Jawab Nabi; "Ibunya". (HR al-Hakim)

3)Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?"

4)Bersabda Rasulullah SAW: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya TAAT KEPADA SUAMI SERTA MENGAKUI HAKNYA adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, TETAPI SANGAT SEDIKIT DARIPADA GOLONGAN KAMU YANG DAPAT MELAKUKANNYA." (Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

5)Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya ia telah mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya dijalan Allah; dan jika ia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (HR Ibn Hibban)

6)Seorang perempuan datang bertanya kepada Rasulullah SAW serta menerangkan katanya: “ Sesungguhnya sepupuku meminangku, maka sebelum aku berumah tangga , ajarkanlah kepadaku, apakah hak suami terhadap isterinya? Rasulullah SAW menjawab: “ Sesungguhnya hak suami terhadap isterinya sangatlah besar, sehingga apabila mengalir darah hidung atau nanah suaminya, lalu dijilat isterinya, masih belum terbayar hak suaminya itu. Dan jika sekiranya manusia dibolehkan sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan si isteri untuk sujud kepada suaminya.”(HR. Al-Hakim)

7)Rasul Allah bersabda, "Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu pagi. (HR Bukhari)

8)Nabi saw. bersabda, ”Jika seorang suami itu memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Nasa-ie dan al-Tirmizi)

9)Nabi saw. bersabda, ”Seorang isteri itu belum menunaikan hak Allah selagi dia tidak menunaikan hak suaminya, jika suami berhajat kepadanya sedangkan dia berada di belakang tunggangan, maka janganlah dia menolak.” (Diriwayatkan oleh al-Thabarani)

10)"... perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)

11)Rasulullah bersabda,, “Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu". (HR Nasa'i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim )

12)Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

13)Sabda Rasulullah s.a.w : “Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.” (HR Nasa’i)

14)Sabda Rasulullah s.a.w : “Wanita yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebab (yang syar’ie) maka haram baginya mencium wangi Syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi )

15)Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, baginda bersabda : “ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

16)Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah s.a.w melihat Syurga dan Neraka. Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya: “ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

17)Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. dan anjuran untuk mentaatiNya. Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda : “Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Neraka Jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia pun bertanya : “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab : “Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu tidak taat terhadap suami.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari)

18)Rasulullah bersabda, "Apabila seorang isteri menjaga solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu suka". (HR Ahmad)

19)Nabi bersabda , “Mana-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha padanya, maka dia akan masuk syurga”. (HR At-Tirmidzi)